Minggu, 14 Maret 2010

tulang manusia

TULANG TIRUAN UNTUK MANUSIA

KOTA BHARU, Selasa: Sekumpulan penyelidik dan doktor pakar dari Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mencipta tulang tiruan dari batu karang laut bagi menggantikan tulang manusia.

Tulang tiruan itu hasil penyelidikan yang diketuai Dr Suzina Sheikh Ab Hamid dari Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) dan Sains Pergigian USM serta diselia Penyelaras Bank Tisu Negara dan Dekan Pusat Perubatan Sains Pergigian USM, Prof Madya Dr Rani Samsudin, doktor pakar yang sebelum ini berjaya menemui kaedah penggantian tulang manusia daripada tulang lembu.

Penyelidikan bertajuk ‘Batu Karang Laut Untuk Mengganti Tulang’ itu memenangi pingat emas pada Pertandingan Persembahan Rekacipta dan Inovasi (I-TEX) 2002 di Kuala Lumpur pada 29 hingga 31 Mac lalu.

Dr Suzina pada sidang akhbar di Kampus Kesihatan USM, Kubang Kerian di sini hari ini, berkata penyelidikan yang dipanggil ‘Coragraf’ itu dimulakan kira-kira tiga tahun lalu dan dihasilkan bersama sekumpulan pensyarah, pegawai sains dan pakar perubatan PPSP USM.

Katanya, Coragraf sudah menjalani beberapa proses makmal bagi memastikannya memenuhi tahap keselamatan mengikut peraturan antarabangsa.

“Penyelidikan kami mendapati batu karang laut spesies ‘porites’ yang mati adalah biomaterial yang selamat, berkesan, mudah didapati dan menjimatkan bagi rawatan penyakit tulang, di samping memiliki sifat seperti tulang manusia.

“Menyedari kepentingan menjaga alam sekitar termasuk batu karang, kami mendapatkan lesen daripada Jabatan Perikanan untuk mengambil batu karang mati dalam perairan negara.

“Selepas melakukan beberapa ujian mengikut prosedur antarabangsa termasuk di Institut Teknologi Nuklear Malaysia (Mint), kita mendapati batu karang itu selamat dijadikan gantian tulang manusia, termasuk mengandungi 99 peratus kalsium karbonat," katanya ketika mengumumkan kejayaan hasil penyelidikan itu.

Penggunaan Coragraf, kata Dr Suzina, boleh diterima pesakit daripada pelbagai agama, kaum, bangsa dan kepercayaan, berbanding beberapa kesulitan yang dihadapi menerusi penggunaan tulang lembu dan babi yang bertentangan dengan beberapa agama.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar